Kenali sambungan peranti Mac

Tahukah anda betapa punya canggihnya sambungan peranti Mac anda!

 

Kalau nak dibandingkan fizikal luaran Mac yang dahulu dengan yang sekarang, anda akan dapati perbezaan yang paling ketara adalah sambungan (connections) yang ada pada komputer Mac. Terutamanya sambungan di Macbook Pro dan Mac Pro.

Kalau dilihat semula sambungan yang ada pada PowerBook G4 tahun 2005, di bahagian kiri dan kanannya penuh dengan “lubang cucuk” sambungan bagi pelbagai jenis peranti. Manakala pemain DVD pula terletak di bahagian hadapan.

Foto oleh Wikimedia, BayMD from Mississauga, Canada dan Kay Pat

Jika dahulu, PowerBook G4 dan Mac Pro mempunyai pelbagai jenis sambungan utama. Antaranya ialah USB 2.0, FireWire 400 dan 800, DVI, Audio In/Out, S-video dan sambungan Ethernet.

Tetapi kini, hampir kesemua jenis sambungan tersebut sudah tiada lagi, malah ada yang sudah pupus. Kini semua komputer Mac menggunakan sambungan generasi baru iaitu USB C, HDMI, Thunderbolt 2, USB 3 dan slot kad SDXC.

Thunderbolt 2

Thunderbolt merupakan sambungan yang mempunyai bentuk yang sama dengan sambungan sebelum ini iaitu Mini Display Port. Tetapi fungsi antara 2 sambungan tersebut adalah berbeza sama sekali. Jika Mini Display Port hanya berfungsi bagi output monitor, Thunderbolt pula berfungsi dengan melakukan pelbagai tugasan. Menurut Apple, Thunderbolt 2 merupakan revolusi teknologi I/O yang menyokong paparan visual berdefinisi tinggi dan peranti data berprestasi tinggi.

Untuk pengetahuan anda, Thunderbolt 2 merupakan sambungan terpantas yang ada pada komputer (buat masa ini). Ia mampu mencapai kelajuan pemindahan data sehingga 20Gbps! Untuk menvisualkan kelajuan peranti ini, anda boleh ke laman web Macworld di mana mereka telah menguji keupayaan Thunderbolt generasi pertama yang hanya berkelajuan 10Gbps. Selepas itu, cuba bayangkan kalau Thunderbolt 2 pula….

Mac Pro mempunyai 6 sambungan Thunderbolt 2!

Foto oleh Uadro

Thunderbolt 2 mampu menyokong hampir kesemua jenis sambungan peranti sekaligus. Maksudnya, anda boleh menyambungkan segala peranti yang anda ada serentak kepada satu lubang sambungan Thunderbolt 2. Bagi mengetahui dan memahami lebih lanjut komputer Mac yang mempunyai sambungan Thunderbolt 2, anda boleh layari laman web Apple.

Macbook Pro Retina dengan sambungan Thunderbolt 2

Foto oleh Solverbase.com

USB 3.0

USB 3 kini terdapat disemua jenis komputer Mac. Kelajuan maksimum peranti ini adalah 5Gbps. Jauh meninggalkan USB 2.0 yang hanya berkelajuan 480Mbps (itulah yang diguna sejak tahun 2000). Menyambungkan perkakasan seperti storan luar (ext. HDD) USB 3 kepada sambungan USB 2.O adalah tiada masalah. Walaubagaimanapun kelajuan pemindahan data akan kembali menjadi 480Mbps.

Macbook Air mempunyai sambungan Thunderbolt 2, USB 3 dan slot kad SDXC (bagi MBA 13″).

USB C

USB C merupakan sambungan peranti generasi baru. Hanya melalui satu sambungan ini, ia melakukan segala perkara. Termasuklah mengecas bateri komputer. Kelajuan pemindahan data menggunakan sambungan USB C mampu mencapai kelajuan sehingga 10Gbps. Buat masa ini, keluarga Mac yang mempunyai sambungan ini hanya ada pada Macbook sahaja. Macbook hanya ada satu sambungan sahaja iaitu USB C. Jadi jika anda ingin memiliki Macbook, anda perlu bersedia untuk membeli beberapa perkakasan sambungan lain seperti sambungan USB, Ethernet, HDMI, VGA dan lain-lain. Bergantung kepada keperluan penggunaan harian anda.

Keluarga Mac terbaru iaitu Macbook hanya ada satu sambungan sahaja iaitu USB C.

Slot Kad SDXC

Slot Kad SDXC terdapat pada semua keluarga Mac kecuali Macbook Air 11″ dan Macbook. Kelajuan sambungan slot kad ini adalah 480Mbps, sama dengan kelajuan USB 2.0. Ini kerana sambungannya menggunakan teknologi USB 2.0. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh layari laman web Apple bagi mendapatkan info slot kad SDXC tersebut.

Sambungan yang telah dan sedang kepupusan.

FireWire 400 dan 800

Sambungan FireWire 400 dan 800 merupakan sambungan peranti “lejen”. Ini kerana ia merupakan sambungan terpantas yang wujud pada awal 2000 sehinggalah sekarang. ariffmac sering menggunakan FireWire 400 bagi melakukan proses pemindahan data video dari kaset ke dalam Mac (suatu ketika dahulu). Malah ariffmac masih menggunakan storan luar sambungan FireWire 800.

Maksud 400 dan 800 tu merujuk kepada kelajuan pemindahan data oleh peranti tersebut iaitu 400Mbps dan 800Mbps. Ia sememangnya pantas. Lebih pantas dari USB 2.0. Pemindahan data video dari kaset ke dalam Mac, hanya boleh dilakukan dengan menggunakan salah satu daripada sambungan ini.

Walaubagaimanapun, riwayatnya telah semakin hampir ke penghujung. FireWire 400 sudah lama ditamatkan oleh Apple. Manakala FireWire 800 masih lagi terdapat pada Macbook Pro 13″ tahun 2012. Untuk pengetahuan anda, hanya Macbook Pro keluaran 2012 sahaja yang masih dijual sehingga kini yang mempunyai sambungan Thunderbolt (1st gen), FireWire 800 dan 8x SuperDrive (pemain DVD la tu).

Sambungan FireWire 800 (kotak merah) dan Mini Display Port (kotak biru) pada Mac Mini terbaru telah digantikan dengan sambungan Thunderbolt.

 

Macbook Pro keluaran 2012 dengan sambungan Thunderbolt (1st gen) dan FireWire 800. Foto oleh FreeImages.com/mireille bentz

USB 2.0

Masih ada yang guna ke? 😛

P/s : Kisah HDMI akan diceritakan pada masa lain. (Penulis dah ngantok).

ariffbukhari

Ariff Bukhari mula menggunakan Apple iMac G3 pada 2001 sewaktu menjadi pereka grafik. Menamatkan pengajian Diploma Teknologi Maklumat pada 2001. Sambung pula pengajian di Universiti Malaysia Sabah pada 2005 hingga 2008 dalam bidang Seni Kreatif. 2009 mengaji pula Ijazah Sarjana (Master) bidang VFX Filem, selesai pada 2013.

Leave a Reply

%d bloggers like this: