Dikemaskini pada 8.20 p.m, 18 Februari 2019.
Salah satu ciri anti perisian hasad terbina dalam macOS.
Sebelum ini telah banyak dibincangkan tentang perisian hasad (malware) serta ciri-ciri perlindungan terbina dalam yang ada di dalam macOS bagi menangani macOS daripada dirasuk malware secara umum.
Kali ini mari kita lihat salah satu ciri perlindungan malware terbina dalam yang ada di dalam macOS yang dipanggil XProtect.
XProtect
XProtect merupakan salah satu ciri penting anti malware terbina dalam macOS yang dibangunkan secara khusus bagi mengimbas fail-fail yang dimuat turun dari aplikasi seperti pelayar sesawang Safari, Chrome, Mail atau iChat.
Atau ringkasnya, ciri ini akan berfungsi pada aplikasi-aplikasi yang memiliki fungsi muat turun fail.
Ia adalah sistem perlindungan macOS yang berfungsi disebalik tabir tanpa memerlukan interaksi pengguna Mac bagi mengaktifkannya.
Sejarah
Pada awalnya, ia bermula dengan sistem kuarantin macOS yang dipanggil “File Quarantine” yang telah diperkenalkan Apple dalam Mac OS X versi 10.5 Leopard pada tahun 2009 dahulu.
Ia kemudiannya ditambah baik dengan diperkenalkan pula ciri XProtect yang direka khusus bagi menghalang malware tertentu yang dikenali daripada dimuat turun ke dalam Mac OS X 10.6 Snow Leopard.
Ia berikutan pada waktu itu, banyak berlakunya teknik serangan phishing scam yang mensasarkan pengguna Mac dengan membawa mereka ke laman sesawang palsu dan memberitahu mereka bahawa komputer mereka telah dijangkiti virus komputer.
Selain itu, XProtect juga menghalang plugin, pemain Adobe Flash, Java dan Microsoft Silverlight versi terdahulu daripada dimuat turun dan diaktifkan di dalam Mac OS X Snow Leopard dan terbaru.
Ini kerana aplikasi-aplikasi tersebut seringkali dieksploitasi dan dimudah dijangkiti dengan malware menerusi laman sesawang yang mengandungi malware serta iklan-iklan (adware).
Jadi, apabila sesebuah fail aplikasi sedia untuk dimuat turun, “File Quarantine” akan mengimbas fail itu terlebih dulu dan membandingkan sama ada nama fail yang hendak dimuat turun itu ada di dalam senarai XProtectPlistConfigData ataupun tidak.
Seterusnya akan memberikan amaran kepada pengguna Mac jika ada sebarang keraguan pada kandungan fail tersebut.
Jika imbasan File Quarantine menunjukkan semuanya selamat, fail tersebut akan dibenarkan dimuat turun, dibuka dan diaktifkan.
Tetapi jika sebaliknya, tetingkap amaran seperti rajah di bawah akan dipaparkan.
Kelebihan XProtect
Kelebihan utama XProtect adalah ia merupakan ciri perlindungan terbina dalam yang dibangunkan sendiri oleh Apple untuk macOS.
Ia adalah sistem pertahanan yang sangat ringan yang tidak membebankan sistem macOS.
Ia mampu mengesan kesemua ancaman perisian hasad yang telah dikenal pasti oleh pihak Apple menerusi kemaskini automatik dan menghalang ia daripada menjangkiti macOS.
Sungguhpun begitu, ia tidak juga sempurna.
Kelemahan XProtect
Kelemahan utama XProtect adalah ia tidak sentiasa memeriksa dan memantau sistem macOS.
Seperti yang dinyatakan di awal tadi, ia hanya berfungsi untuk mengimbas sesebuah fail apabila terdapat fail yang dimuat turun dari internet menerusi sesebuah aplikasi sahaja.
Ringkasnya, ia hanyalah sekadar ciri pertahanan asas bagi Mac berdepan dengan aktiviti pelayaran internet pengguna Mac daripada membenarkan Mac mereka memuat turun, membuka dan mengaktifkan fail yang diketahui berniat jahat terhadap sistem macOS.
XProtect tidak berfungsi sebagai sistem pertahanan macOS pada masa sebenar, melindungi malware yang berasal dari sistem Windows atau serangan-serangan yang lain.
Malah kemaskini yang dilepaskan oleh pihak Apple bagi XProtect juga sering lambat dilepaskan kepada pengguna Mac.
Kesimpulan
XProtect hanyalah salah satu daripada ciri benteng pertahanan yang ada di dalam sistem macOS.
Malah pihak Apple sendiri mengakui bahawa XProtect bukanlah bertindak sebaga iciri perlindungan sepenuhnya anti virus kepada Mac, sepertimana yang diberitahu kepada Macworld pada tahun 2009,
“The feature isn’t intended to replace or supplant antivirus software, but affords a measure of protection against the handful of known Trojan horse applications that exist for the Mac today.”
Terdapat beberapa lagi ciri pertahanan utama terbina dalam macOS yang melindungi Mac daripada serangan atau jangkitan malware.
InsyaAllah pada artikel akan datang dibincangkan lagi ciri sistem pertahanan lain yang terdapat di dalam macOS.













