
Aplikasi BlueStacks membolehkan aplikasi-aplikasi yang terdapat di peranti Android dimainkan di dalam Mac dan Windows.
BlueStacks merupakan sebuah pemain aplikasi percuma yang dibangunkan oleh BlueStacks System. Inc. yang berfungsi sebagai platfom bagi membolehkan hampir 2.8 juta aplikasi yang terdapat di peranti Android di mainkan di dalam komputer.
Apabila BlueStacks di masukkan ke dalam komputer, antaramukanya adalah menyerupai antaramuka sistem Android iaitu sama sepertimana yang terdapat pada tablet Android. BlueStacks sebenarnya sudah lama dibangunkan iaitu sejak 2011 lagi dan ia telah dianugerahkan sebagai rekaan terbaik di CES 2012.
Namun begitu, versi-versi terdahulu aplikasi BlueStacks adalah tidak begitu mesra pengguna serta tidak stabil. Malah memasukkan sistem Android ke dalamnya juga agak sukar kerana pengguna perlu memilih dan memuat turun sendiri versi Android yang sesuai yang disokong oleh aplikasi BlueStacks.
Sekaligus menjadikan aplikasi tersebut tidak stabil dan kerap kali gagal berfungsi.
BlueStacks 2.0
Tetapi kemunculan versi terbaru BlueStacks v2.0.0 untuk Mac, ia telah ditambah baik dan lebih stabil untuk digunakan. Malah ia jauh berbeza berbanding versi-versi terdahulu di mana ia amat mudah digunakan serta turut menyokong ciri-ciri istimewa yang terdapat di dalam macOS seperti sokongan mod skrin penuh dan split screen.

Proses memasukkan sistem Android juga dilakukan secara automatik. Setelah BlueStacks dipasang pada komputer anda, ia akan secara automatik melaras prestasi permainan ke komputer anda agar anda boleh bermain sebarang permainan Android dengan baik.
Apabila BlueStacks diaktifkan, tab App Center dan My Apps akan aktif secara automatik. Anda tidak boleh menutup 2 tab ini kerana ia merupakan ciri utama yang dimuatkan dalam BlueStacks. App Center merupakan pusat aplikasi-aplikasi Android bagi membolehkan anda memlilih dan memuat turun aplikasi-aplikasi yang diinginkan.
Manakala My Apps pula yang menyerupai antaramuka tablet Android adalah sama fungsinya seperti yang terdapat di peranti-peranti yang menggunakan sistem Android.
Di tab My Apps ini, pengguna boleh juga memuat turun aplikasi menerusi aplikasi Play Store yang tersedia ada di dalamnya, mengaktifkan aplikasi yang telah dimuat turun, membuat tetapan tertentu untuk sistem Android dan lain-lain. Pendek cerita, fungsinya sama sahaja sepertimana peranti Android berfungsi.
Jadi dengan adanya BlueStacks, anda boleh menggunakan aplikasi sembang sosial popular seperti WhatsApp, FB Messenger, Imo dan lain-lain di Mac.
Kelemahan
Walaubagaimanapun, setelah menguji aplikasi ini dengan beberapa aplikasi popular yang sering digunakan oleh pengguna peranti Android, AriffMac dapati terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki pada aplikasi BlueStacks.
Aplikasi WhatsApp berfungsi dengan baik sekali di BlueStacks. Namun begitu, tidak kesemua ciri-ciri WhatsApp dapat digunakan di sini. Antara ciri yang tidak boleh digunakan adalah seperti panggilan video iaitu sama ada anda membuat atau menerima panggilan video.
Panggilan video hanya akan menyebabkan aplikasi BlueStacks tergantung (Application Not Responding).
Selain itu, ciri perkongsian lokasi juga tidak boleh digunakan dan mengambil gambar menerusi kamera di aplikasi ini turut akan menyebabkan aplikasi BlueStacks ini tergantung yang seterusnya membawa kepada kemunculan ikon spinning beach ball yang jarang keluar di Mac.
Jadi, jika berlaku masalah tersebut, cara penyelesaiannya adalah anda terpaksalah Force Quit aplikasi BlueStack tersebut.
Selain dari aplikasi WhatsApp, AriffMac turut mencuba aplikasi permainan popular seperti PUBG MOBILE terbaru di BlueStacks. Malangnya hanya audionya sahaja yang kedengaran. Visual grafik aplikasi tersebut tidak kelihatan, hanya skrin gelap semata-mata.
Ini bermakna masih terdapat aplikasi yang belum serasi dengan BlueStacks. Walaupun begitu, masalah ini mungkin juga hanya berlaku pada Macbook Pro 15″ yang AriffMac gunakan. Anda mungkin tidak mengalami masalah memainkan permainan tersebut.
Ringkasnya, masalah yang dihadapi mungkin tidak sama, ia juga mungkin bergantung kepada spesifikasi perkakasan sesebuah komputer tersebut.
- Saiz storan
Aplikasi BlueStacks turut mempunyai ruang simpanan storannya sendiri. Sama sahaja sepertimana perkakasan storan fizikal yang terdapat dalam sesebuah peranti Android.
Namun begitu, saiz storan yang diberikan oleh aplikasi BlueStacks hanya sebesar 32GB bagi storan dalaman dan hanya 16GB bagi storan luar.

Kesimpulan
Setelah menggunakan versi terbaru aplikasi BlueStacks v2.0.0 ini, AriffMac dapati secara keseluruhannya ia berfungsi dengan amat baik sekali. Proses memasukkan aplikasi dan tetapan yang perlu dibuat juga kini jauh lebih mudah.

Malah, paparan skrin BlueStacks juga akan diselaraskan secara automatik bagi sesebuah aplikasi iaitu sama ada menegak ataupun melintang mengikut kesesuaian sesebuah aplikasi tersebut apabila ia diaktifkan.

BlueStacks v2.0.0 untuk Mac kini jauh lebih stabil dan amat mudah digunakan. Walaubagaimanapun, pengguna Windows adalah sedikit beruntung kerana mereka dapat menggunakan BlueStacks versi 3.0 yang lebih baru yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan yang lebih baik seperti pelarasan resolusi dan saiz permainan secara automatik mengikut kesesuaian skrin komputer serta banyak lagi.
Sebelum menggunakan aplikasi ini, suka diingatkan supaya anda pastikan terlebih dulu komputer Mac atau Windows anda memiliki sekurang-kurangnya spesifikasi minimum yang diperlukan.
Bagi pengguna Mac, pastikan Mac anda menggunakan sistem operasi macOS Sierra dan ke atas, kapasiti RAM 4GB beserta storan 4GB.
Manakala bagi pengguna PC Windows pula, pastikan PC anda menggunakan sistem operasi Windows 10, cip pemprosesan Intel Core i5-680 (PassMark 3500) atau cip pemprosesan yang lebih berkuasa dengan keupayaan tetapan virtualization yang boleh dibuat di BIOS, kad grafik Intel HD 5200 (PassMark 750) dan ke atas, RAM 6GB dan menggunakan jenis storan SSD atau Fusion.
Info lanjut tentang spesifikasi minimum yang diperlukan untuk menggunakan aplikasi BlueStacks ini boleh didapati di laman BlueStacks Help Center.
Anda boleh memuat turun aplikasi BlueStacks ini secara percuma terus dari laman web rasmi BlueStacks.com.























[…] Cuma kadang-kadang berlaku juga aplikasi Nox Player tergendala ketika AriffMac sedang bermain sesebuah aplikasi. Tetapi keseluruhannya baik sahaja (rasa lebih selesa menggunakan Nox Player berbanding BlueStacks) […]