Pada tahun 1996, Apple diramal akan “bungkus”.
Tahun 1996 bukanlah tahun yang baik bagi Apple Computer. Selepas 20 tahun Steve Jobs dan rakan baiknya Steve Wozniak memulakan syarikat mereka dari garaj rumah, Apple berdepan dengan situasi tenat.
Pada waktu Apple di ambang kemusnahan, Steve Jobs tidak bersama Apple apabila beliau dipecat CEO nya, John Sculley pada 1985. Sejak daripada itu, Apple mula berdepan era kejatuhannya apabila CEO yang silih berganti gagal membawa syarikat tersebut ke puncak kejayaan.
Kemuncaknya adalah pada tahun 1996, Apple telah mengalami kerugian sebanyak USD740 juta di era Gil Amelio sebagai CEO Apple Computer yang menyebabkan para penganalisis ekonomi dan pihak media pada waktu itu berpendapat yang Apple akan musnah.
Walaubagaimanapun, apabila kembalinya semula Steve Jobs pada 1997 ke Apple Computer serta pengenalan iMac buat pertama kalinya pada 1998, ia telah kembali melonjakkan semula nama Apple dalam industri teknologi perkomputeran.

Selepas kejayaan jualan iMac serta meletakkan semula Apple dilandasan yang betul, barulah Steve Jobs dilantik sebagai CEO Apple Computer pada tahun 2000.
Kejayan demi kejayaan dicapai
Tidak berhenti setakat itu, Apple terus menghasilkan produk-produk ikonik dan ‘hit’ dipasaran. Bermula dengan iMac yang terus berjaya dijual dengan baik sehingga tahun 2000, Apple perkenalkan pula peranti pemain muzik iPod pada 2001.

Seterusnya Apple mengambil tindakan drastik dengan beralih daripada penggunaan cip pemprosesan Power PC dari Motorola kepada cip pemprosesan Intel untuk barisan model komputernya iaitu iMac, Macbook dan Macbook Pro pada Januari 2006.
Pada Januari 2007 pula, Steve Jobs mengumumkan yang mereka menggugurkan nama Apple Computer dan menggantikannya dengan Apple Inc. Pada masa yang sama, Apple turut melancarkan peranti yang telah merevolusi telefon pintar dunia iaitu iPhone di Macworld Conference and Expo pada 9 Januari 2007.

3 tahun selepas pengenalan iPhone, Apple sekali lagi merevolusi produk elektronik dengan menghasilkan tablet pintar terbaru yang dikenali sebagai iPad pada 2010.
Walaupun selepas kematian Steve Jobs pada Oktober 2011, Apple Inc. meneruskan legasi beliau menerusi CEO Apple yang baru, Tim Cook dan terus mendapat kejayaan dengan barisan produk terbaru seperti Apple Watch yang diperkenalkan pada 2015.

Itu adalah serba ringkas bagaimana Apple mencapai nilai USD1 Trilion pada tahun ini menerusi produk-produk utamanya.
Tetapi selain daripada produk-produk tersebut, Apple juga memperolehi keuntungan menerusi servis-servis yang ditawarkan seperti Apple Music, App Store, iCloud dan lain-lain.
Jadi, seterusnya…
Apple selepas 20 tahun penubuhannya pernah hampir ditutup. Tetapi kini 20 tahun kemudiannya ia menjadi syarikat bernilai trilion dolar Amerika.
Menjadi syarikat pertama di dunia bernilai USD 1 Trilion bukanlah dicapai Apple dalam 1 malam, sebulan mahupun setahun. Ia memerlukan mereka 20 tahun usaha berterusan mencipta produk-produk yang inovatif serta memberikan servis berkualiti tinggi kepada para penggunanya.
Apa yang Apple Inc. perlu lakukan sekarang adalah kekal menjadi syarikat komputer yang sentiasa menghasilkan produk-produk yang bukan sahaja bermutu tetapi juga berinovatif dan berteknologi tinggi.
Apple sendiri pastinya menyedari akan hal ini. Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, mereka tidak sepertimana Apple yang dulu, menghasilkan produk-produk yang disukai ramai serta mesra penggunanya.
Lihat sahaja harga komputer Macintosh seperti Macbook Pro yang amat mahal harganya. Ia langsung tidak mencerminkan komputer tersebut mesra dengan pembelinya. Jauh berbeza ketika Macbook Pro di awal pengenalannya pada tahun 2008 hingga 2012 dahulu.

Walaupun Apple mencapai nilai 1 trilion, mereka juga disindir oleh ramai pihak yang merujuk Apple sebagai penjual pelbagai jenis kabel untuk sambungan bagi pelbagai peranti mereka dan pihak ketiga.
Para pengguna setia produk Apple melihat yang Apple secara sengaja memaksa pengguna membeli aksesori-aksesori tersebut.

Sungguhpun Apple Inc. terus mencapai kejayaan, tetapi ia adalah daripada legasi kukuh yang ditinggalkan oleh mendiang Steve Jobs yang bersusah payah menjadikan Apple sehingga ke tahap ini.
Ketika ini para pemerhati melihat bahawa Apple kini semakin jauh meninggalkan ‘phylosophy’ dalam desain penciptaan produk-produk terbaru mereka di mana ia sekian lama diterapkan oleh mendiang Steve Jobs di dalam desain produk-produk Apple sepanjang hayatnya.

Mungkin di sini boleh AriffMac kaitkan apa yang Apple cuba lakukan dari sepotong skrip filem terbaru Mission: Impossible 6 - Fallout,
“The greater the suffering, the greater the peace”.
Namun begitu, menjadi antagonis kepada penggunanya mungkin langkah yang kurang bijak oleh Apple.
Sungguhpun kini mereka berada di kemuncak tertinggi, tetapi jika Apple terus menghasilkan produk-produk mereka dengan cara begini, sejarah 20 tahun yang lalu tidak mustahil akan kembali berulang dan mungkin Apple betul-betul akan “bungkus” sepertimana yang diramal dalam artikel “The Fall Of An American Icon” yang diterbitkan BusinessWeek pada 5 Februari 1996.

























