
Jangkaan perkara-perkara yang akan diperkatakan oleh Apple di acara istimewa mereka yang akan berlangsung pada 13 September 2017 nanti.
Hanya tinggal kurang dari 3 hari sahaja lagi Acara Istimewa Apple akan bermula yang merupakan acara terbesar mereka bagi tahun ini. Ia pastinya sesuatu amat istimewa bagi Apple Inc. kerana ia pertama kalinya akan diadakan di lokasi yang baru iaitu di Steve Jobs Theater yang terletak di dalam kawasan Apple Park.
Lebih istimewanya adalah acara yang akan berlangsung ini merupakan acara tahun yang ke 10 bagi produk paling popular mereka iaitu iPhone. Jadi apa yang dapat dijangkakan daripada Apple pada acara tersebut.
iPhone 8 dan iOS 11
Sudah pasti pada acara ini iPhone lah yang akan menjadi perhatian utama peminat dan pemerhati teknologi di seluruh dunia. Banyak khabar angin telah diperkatakan tentang peranti ini dan boleh dikatakan ia merupakan peranti yang paling banyak diperkatakan media massa berbanding dengan peranti-peranti popular yang lain.
Tetapi ia mungkin telah terlebih diperkatakan dan hampir kesemua aspek-aspek penting seperti ciri-ciri terbaru, desain dan beberapa perkara penting lain tentang iPhone ini telah diketahui umum sebelum ia diperkenalkan secara rasmi oleh Apple sendiri.
Berikut adalah antara info tentang iPhone terbaru Apple yang secara teknikalnya bukan rahsia lagi:-
- Desain
Daripada rekaan skrin dan keseluruhan rekabentuk iPhone 8 yang didedahkan, iPhone tersebut tidak lagi mempunyai butang “Home”. Manakala rekaan kedudukan kamera berkembar yang sebelum ini direka melintang, kini berada dalam kedudukan menegak.
- Nama
Menurut sumber dari para pembangun aplikasi Apple, mereka telah menemui dan mendedahkan nama yang akan digunakan untuk iPhone terbaru nanti iaitu iPhone 8 dan iPhone X.
- Warna
Dikhabarkan juga 3 warna yang akan digunakan pada iPhone terbaru ini iaitu Hitam, Silver dan warna terbaru Rose Gold aka “Blush Gold”
- Storan dan Harga
Kapasiti storan iPhone 8 mungkin akan terdapat 3 pilihan dan ia akan bermula dari ruang storan bersaiz 64GB yang mungkin akan dijual pada harga USD999, storan saiz 256GB pula akan berharga USD1099 dan saiz storan terbaru dan terbesar untuk iPhone iaitu 512GB. Jika saiz storan 512GB digunakan di iPhone ini akan menjadikan iPhone 8 sebagai telefon pintar termahal yang ada dipasaran yang dikhabarkan harganya akan dijual pada harga USD1199.
Ciri-ciri terbaru iPhone
Selain daripada desain, warna, nama dan harga, ciri-ciri terbaru yang dibangunkan Apple untuk iPhone 8 ini juga turut hangat diperkatakan. Berikut adalah antara ciri-ciri menarik dan terbaru yang terdapat pada iPhone 8:-
- Imbasan wajah sebagai kata laluan
Dengan ketiadaan butang fizikal “Home” pada iPhone 8 untuk kata laluan menggunakan cap jari, Apple bakal menggantikannya dengan teknologi imbasan wajah. Ia dengan harapan akan dapat meningkatkan lagi ciri keselamatan kepada pengguna iPhone tersebut.
- Pengecasan tanpa wayar
Apple dikhabarkan akan memasukkan fungsi pengecasan tanpa wayar pada iPhone. Walaubagaimanapun, dari khabar angin yang terbaru, ciri pengecasan tanpa wayar mungkin tidak boleh didapati dengan serta-merta. Malah dalam siri ‘tweets‘ oleh blogger Apple terkenal John Gruber, dikhabarkan aksesori pengecasannya juga mungkin akan dijual secara berasingan dan bukannya didatangkan sekali bersama iPhone sebagai standad. Selain itu fungsi tersebut juga mungkin tidak tersedia sehingga iOS 11.1 tiba selepas pelancaran iPhone 8 nanti.
- Paparan indikator baru di Statusbar
Anda boleh melihat contoh indikator animasi baru yang terdapat pada iPhone 8 di iOS 11 versi beta yang dikongsikan oleh pembangun aplikasi Guilherme Rambo di akaun Twitternya.
When loading media such as video, the new statusbar shows a different activity indicator pic.twitter.com/fujCF5i50I
— Guilherme Rambo (@_inside) September 9, 2017
Itu adalah antara berita-berita khabar angin tentang iPhone 8 yang hangat diperkatakan dan telah didedahkan kepada umum. iOS 11 pula kini sudah berada diperingkat Golden Master (GM) dan AriffMac yakin semua pengguna peranti iOS 10 akan mula dapat menaik taraf ke iOS 11 selepas berakhirnya acara istimewa tersebut.
Itu adalah antara maklumat yang tertiris berkaitan dengan iPhone 8.Secara kesimpulannya aspek-aspek penting yang terdapat pada iPhone 8 bukanlah sesuatu yang rahsia lagi apabila ia diperkenalkan oleh CEO Apple Inc. Tim Cook nanti.
Seterusnya adalah tentang sistem operasi komputer Macintosh iaitu macOS High Sierra 10.13.
macOS High Sierra

Buat masa ini, macOS High Sierra masih lagi dalam versi beta. Walaubagaimanapun, tidak seperti iOS 11 versi beta yang kini sudah berada diperingkat akhir pembangunannya (Golden Master aka GM), macOS High Sierra versi beta pula masih belum berada di peringkat akhirnya lagi. Versi beta macOS High Sierra baru berada pada versi ke 9 bagi Developer dan versi ke 8 untuk Public Beta.
Buat masa ini, AriffMac tidak nampak versi penuh macOS High Sierra ini akan dapat digunakan oleh semua pengguna Mac selepas berakhirnya acara istimewa tersebut. Malah mungkin tidak dalam masa terdekat di dalam bulan September ini. Ini kerana, macOS High Sierra versi beta ini masih lagi terdapat banyak permasalahan yang belum dapat diperbaiki.
Antara masalah-masalah yang masih AriffMac hadapi dengan versi beta ini adalah seperti sistem macOS yang kerap kali tergantung, aplikasi-aplikasi seperti pelayar web Safari yang tidak stabil serta masih banyak lagi aplikasi-aplikasi dari pihak ketiga yang belum bersedia dengan macOS 10.13 ini.
Jadi AriffMac jangkakan macOS High Sierra mungkin paling awal pun akan boleh dimuat turun oleh semua pengguna Mac adalah pada awal atau pertengahan bulan Oktober nanti. macOS High Sierra dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri baru yang menarik seperti HEVC, APFS, Metal 2 dan banyak lagi.
Selain daripada itu…
Selain daripada iPhone 8, iOS 11 dan macOS High Serra, Apple Inc. juga akan perkenalkan sistem terbaru tvOS bagi Apple TV dan mungkin aksesori bagi Apple Watch. AriffMac juga turut jangkakan Apple akan memberikan sedikit berita terbaru tentang perkembangan 2 produk terbaru mereka iaitu iMac Pro dan peranti pemain muzik terbaru Apple iaitu HomePod.
Tetapi AriffMac juga jangkakan Apple akan kongsikan sedikit berita tentang Mac Pro terbaru yang sedang Apple bangunkan bagi menggantikan Mac Pro yang ada sekarang.
Menurut Apple, iMac Pro dan HomePod yang telah diperkenalkan pada WWDC 2017 yang lalu akan mula berada dipasaran pada bulan Disember ini nanti.
Tidak dilupakan juga tarikan terbaru pada acara itu nanti iaitu tidak lain dan tidak bukan lokasi acara itu sendiri iaitu Steve Jobs Theater. Bangunan yang baru sahaja siap dibina ini merupakan satu penghormatan istimewa kepada mendiang Steve Jobs. Menurut Apple, Teater Steve Job adalah lambang penghormatan, ingatan dan pengaruhnya yang berkekalan kepada Apple dan dunia. Sebab itulah teater di Apple Park ini dinamakan sebagai Teater Steve Jobs.
Acara tersebut yang akan berlangsung tepat pada jam 10.00 pagi, 12 September 2017 (jam 1.oo pagi, 13 September 2017 waktu Malaysia) nanti itu akan boleh ditonton secara langsung diseluruh dunia menerusi peranti mudah alih anda.
Berikut adalah senarai peranti dan sistem operasi yang diperlukan anda untuk menonton acara tersebut secara langsung:-
- iPhone, iPad, iPod touch di aplikasi pelayar web Safari yang menggunakan iOS 7.0 ke atas
- Mac di aplikasi pelayar web Safari 6.0.5 ke atas yang menggunakan OS X v10.8.5 ke atas
- PC di aplikasi pelayar web Microsoft Edge yang menggunakan Windows 10
- Stream video dari Apple TV (generasi ke 2 atau ke 3) yang menggunakan perisian 6.2 ke atas atau Apple TV (generasi ke 4).
Ataupun anda juga boleh menonton acara tersebut dari komputer Mac anda dengan menggunakan aplikasi tidak rasmi Apple Event.






















