
iPad Pro kini lebih berkuasa dan lebih murah harganya dari Mac. Tapi adakah ia releven untuk anda?
Sebelum ini telah dibincangkan perbandingan antara Macbook 12″ dan Macbook Air 2018 serta Macbook Pro 13 2017 dengan Macbook Air 2018.
Tetapi ada juga yang berkata iPad Pro 2018 kini lebih ‘power‘ dari Macbook. Malah ia juga lebih murah harganya. Jadi ada yang berpendapat membeli iPad Pro adalah lebih berbaloi berbanding membeli Macbook.
Betulkah?
Komputer riba Apple Macbook atau iPad Pro
Baik, jika dilihat dari segi fleksibiliti, saiz dan berat, kedua-duanya memiliki ciri yang hampir sama. Ia ringan, saiz kecil yang boleh dimuat di dalam beg tangan, mudah dibawa dan dapat membantu penggunanya melaksanakan kerja-kerja ringan dan ringkas seperti menaip, layari internet, sunting foto dan lain-lain (merujuk kepada Macbook 12″).
Malah iPad Pro juga kini lengkapi dengan sambungan USB-C sepertimana Macbook 12″.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan kritikal dari aspek ciri dan limitasi penggunaan antara 2 peranti ini yang membezakan iPad dan Mac.
1. Limitasi sokongan fail
Walaupun iPad Pro kini dilengkapi sambungan USB-C, tetapi limitasi fail yang boleh diaksesnya adalah masih sama seperti sebelum ini. iPad Pro hanya boleh mengakses format fail bergambar dan video sahaja dari kamera atau kad memori SD.
Ini bermakna, iPad Pro tidak menyokong sambungan wayar untuk mana-mana peranti storan luar yang membolehkan pengguna memindahkan fail antara 2 peranti tersebut.
Jadi, fail-fail selain dari foto dan video anda hanya boleh diakses dari storan awan seperti iCloud.

2. Tiada tetikus
Apabila iPad Pro dilengkapi dengan USB-C, ia juga membolehkan pengguna menyambungkannya bersama paparan luar. Malah Apple menyatakan iPad Pro mampu menyokong paparan luar 5K.

Namun begitu, permasalahan utamanya adalah pengguna masih tetap perlu melihat dan menggunakan iPad Pro sebagai paparan utama bagi mengawal aplikasi yang digunakan.
Ini kerana yidak seperti komputer, iPad Pro tiada tetikus yang membolehkan anda mengawal visual yang dipaparkan pada skrin luar tersebut.
Jadi nak tak nak, pengguna tetap perlu sentuh dengan jari atau menggunakan aksesori sentuh seperti Apple pencil pada skrin iPad tersebut.
3. Tiada lagi sambungan fon kepala 3.5mm
Apple kini telah mula membuang sambungan fon kepala secara berperingkat pada semua peranti iOS terbaru mereka. iPad Pro 2018 adalah mangsa terbaru mereka.
Sungguhpun isunya nampak seakan remeh, tapi ketiadaan sambungan ini memberi kesan kepada kebanyakkan pengguna kerana tidak semua dari kita memiliki fon kepala tanpa wayar.
iPad Pro belum lagi mampu
Untuk mengatakan bahawa iPad Pro dapat menggantikan komputer Apple Macintosh sepenuhnya adalah tidak tepat. Menjadikan iPad Pro sebagai peranti tambahan untuk bekerjasa bersama komputer Macintosh, ya.
Oleh sebab itulah, sepertimana pendapat AriffMac yang telah membuat review terhadap iPad Pro generasi pertama pada 2016 lalu, pendapat tersebut masih kekal menyatakan bahawa iPad Pro tetap belum dapat menggantikan sepenuhnya komputer Macintosh.

Sungguhpun iPad Pro 2018 dilengkapi dengan cip pemprosesan A12X Bionic yang lebih berkuasa dari model Macbook Pro terdahulu, tidak bermakna ia dapat menggantikan sebuah Mac.
Ini kerana, ia berbalik semula kepada 3 aspek kekurangan yang ada padanya sepertimana yang telah dinyatakan di awal tadi.

Malah usaha Apple untuk membolehkan aplikasi-aplikasi profesional Adobe Photoshop dan AutoCad disokong oleh iPad Pro belum cukup meyakinkan pengguna Mac untuk beralih sepenuhnya kepada iPad Pro.

Bukan masalah iPad Pro
Sebenarnya pada pendapat AriffMac, iPad Pro adalah sebuah peranti pintar yang cukup sempurna. Dengan kuasa yang ada padanya, ia sepatutnya sudah boleh menggantikan Mac.
Jadi, apa yang menghalangnya?
iOS
Masalah sebenarnya bukanlah berpunca daripada iPad Pro. Sebaliknya adalah sistem operasi yang digunakan di dalam iPad tersebut iaitu sistem operasi iOS.
iPad Pro adalah mangsa kepada limitasi yang ditetapkan oleh Apple terhadap sistem iOS. Dengan kata lain, iPad Pro sepatutnya menceraikan iOS dan menggantikannya dengan sistem operasinya sendiri.
Kesimpulan
Dengan kuasa yang ada di dalam iPad Pro, ia sebenarnya sudah lebih daripada mampu bagi menggantikan komputer Macintosh. Tetapi disebabkan limitasi-limitasi yang berpunca daripada sistem iOS menyebabkan iPad Pro belum bersedia sepenuhnya menggalas tugas komputer Mac sepenuhnya.
Apple mungkin patut membangunkan sistem operasi baru yang khusus untuk iPad Pro pada masa akan datang. iOS biarlah untuk telefon pintar iPhone sahaja.
Artikel ini bukanlah hendak mengatakan bahawa iPad Pro sebagai peranti yang tidak mampu menggalas tugas-tugas yang biasa dibuat pada sebuah komputer.
Sebaliknya adalah untuk meyatakan bahawa iPad adalah iPad. Ia bukan sebuah komputer disebabkan oleh limitasi yang ada padanya.
Namun begitu, bagi mereka yang gemar bermain aplikasi permainan video di peranti pintar atau anda seorang artis digital, iPad Pro adalah antara pilihan peranti terbaik untuk anda.
























