Aplikasi suntingan video Media 100 kini terdapat juga untuk macOS Sierra.
Jika anda ingin mencari perisian suntingan percuma tetapi video berkuasa, anda bolehlah memuat turun dan mencuba aplikasi suntingan video Media 100. Media 100 merupakan sebuah aplikasi yang dimiliki dan dibangunkan oleh Boris FX sejak 2005. Boris FX merupakan sebuah syarikat yang khusus dalam pembikinan kesan khas bagi pelbagai perisian popular seperti Final Cut Pro X, Avid dan Adobe Premiere.
Walaupun aplikasi suntingan video ini percuma, antaramuka yang dihasilkan bagi aplikasi ini adalah lebih menyerupai seperti ia sebuah aplikasi profesional. Antaramukanya bukan hanya sekadar bagi menunjuk-nunjuk, tetapi ia sememangnya sebuah aplikasi berkuasa yang mampu menyunting jenis kualiti video dari kualiti SD hinggalah kepada kualiti video 4K.
Selain itu, bagi anda yang ingin memasukkan kesan khas, anda boleh mengekspot suntingan yang anda buat di Media 100 ke aplikasi kesan khas Adobe After Effects terus dari Media 100. Malah, aplikasi ini juga turut didatangkan sekali dengan plugin dari Boris RED dan Eye Scream Factory’s “100 Essential Transitions” bagi memasukkan kesan khas transition dan tajuk kepada video anda.
Selain itu juga, kelebihan aplikasi ini adalah ia menyokong antaramuka perkakasan profesional dari AJA dan Black Magic Design. Ia juga turut menyokong penggunaan codec dari pelbagai jenis antaranya ialah Apple ProRess, Sony XDCAM, DVCPRO dan banyak lagi.
Pengguna yang menggunakan aplikasi ini turut dibantu dari pelbagai pengguna lain dari forum-forum popular yang berkaitan dengan suntingan video seperti Creative COW bagi mendapatkan bantuan serta nasihat tentang penggunaan aplikasi Media 100 ini. Jika anda berminat dengan aplikasi ini, bolehlah anda memuat turunnya terus dari laman web Media 100 secara percuma. Anda hanya perlu mengisi sedikit maklumat peribadi bagi membolehkan anda mendapatkan nombor siri khas sebelum memuat turun dan menggunakannya tanpa limitasi had kemasukan aplikasi tersebut ke dalam komputer yang anda gunakan.
Aplikasi ini juga menyediakan capaian bagi mempelajari cara-cara penggunaan aplikasi ini secara berperingkat bagi memudahkan anda mempelajari seterusnya menggunakan aplikasi suntingan video Media 100 ini dengan lebih baik.
Kesimpulan
Setelah mencuba aplikasi ini, apa yang AriffMac dapat simpulkan adalah bagi yang biasa menggunakan perisian suntingan video, anda mungkin lebih cepat faham dan memahami cara penggunaan aplikasi Media 100 ini. Bagi anda yang pertama kali dan tidak pernah menggunakan perisian suntingan video, adalah agak sukar bagi anda memahaminya. AriffMac sendiri mengambil masa bagi memahami cara mengoperasikan aplikasi ini. Tetapi dengan adanya bantuan dari sumber yang banyak tentang tutorial cara-cara penggunaan aplikasi Media 100 ini daripada capaian-capaian yang disediakan menerusi aplikasi ini, mempelajarinya menjadi mudah.
Bagi mendapatkan info lebih lanjut tentang aplikasi Media 100 ini, boleh anda dapatkan di Media100.com.


