Sembunyi dan enkripkan data penting anda dengan aplikasi Hider 2.
Pada minggu lepas AriffMac sudah pun selesai membuat review aplikasi Gemini2 dari MacPaw. Jadi pada minggu ini AriffMac akan membuat review pula ke atas sebuah lagi aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat tersebut iaitu aplikasi Hider 2.
Hider 2
Aplikasi Hider 2 merupakan sebuah aplikasi yang membantu pengguna Mac menyembunyikan serta mengenkrip data-data pengguna dengan lebih selamat. Selamat yang AriffMac maksudkan adalah sangat selamat. Jadi jika ada penceroboh seperti kecurian komputer atau Mac anda digodam, data-data sulit anda tidak akan dapat diakses tanpa kata laluan keselamatan yang anda sahaja yang tahu.
Mungkin anda faham dengan maksud data yang disembunyikan, tetapi mungkin kurang faham dengan data yang dienkrip. Enkrip (Encrypt) data bermaksud data-data digital akan diubah kodnya kepada bentuk yang lain yang dikenali sebagai cipher (nama antagonis yang digunakan dalam filem Fast Furious 8) bagi menghalang pihak lain daripada mengakses sesuatu data atau maklumat tersebut. Ini bermakna, data tersebut bukan sahaja disembunyikan, tetapi juga Hider 2 menambahkan lagi ciri keselamatan tambahan pada data-data sulit yang ada dalam Mac anda tanpa boleh diakses oleh orang lain kecuali anda sahaja iaitu tuan punya kepada data-data tersebut.
Cara penggunaan
Apabila anda kali pertama mengaktifkan aplikasi Hider 2, anda akan diminta menetapkan kata laluan bagi membuat kekubah keselamatan khas (vault) di dalam Mac anda. Selepas daripada itu, anda hanya perlu memilih fail yang dikehendaki dan memasukkannya ke dalam aplikasi tersebut bagi menyembunyikan dan mengenkrip fail dan data tersebut.
Ciri-ciri utama
Terdapat beberapa ciri utama yang ada pada aplikasi ini. Hider 2 bukan sahaja menyembunyikan dan mengenkrip data yang ada di dalam Mac anda sahaja, tetapi juga turut boleh sembunyi dan enkrip data di peranti storan luar (external drive) yang disambungkan ke Mac anda. Malah terdapat fungsi tambahan bagi memadam sesebuah data dari Mac anda. Selain itu, anda juga boleh membuat nota sulit di dalam aplikasi ini serta mengakses data-data yang disembunyikan menerusi bar Menu Mac.
Kesimpulan
Setelah seminggu lebih menggunakan aplikasi Hider 2 ini, AriffMac dapat simpulkan yang ia amat sesuai kepada anda yang mempunyai banyak fail-fail sulit penting yang perlu disembunyikan serta bagi menambahkan lagi ciri-ciri keselamatan terhadap fail-fail tersebut. Antaramukanya yang menarik dan ringkas memudahkan pengguna menggunakan aplikasi ini. Beberapa ciri tambahan lain yang ada pada Hider 2 menjadikan aplikasi ini cukup berkuasa bagi melindungi data-data sulit tersebut.
Aplikasi Hider 2 ini boleh anda muat turunnya menerusi laman web rasmi MacPaw. Ia dijual pada harga RM93.26 bagi sebuah komputer. Aplikasi ini hanya ada untuk platfom Mac sahaja yang menggunakansistem operasi Mac OS X 10.8 dan ke atas.
Notis Pemberitahuan: ariffmac.com tidak dibayar untuk melakukan ulasan ini. ariffmac.com telah dilengkapi dengan kod promo untuk membolehkan ciri-ciri yang ada pada aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya.


